berita dan media

photo6111701676269350263.jpg

Ayam CSR, galak masyarakat bantu asnaf ketika PKP

Penulis : Jamliah Hj Abdullah,  7 Jun 2021

Mantan Wartawan Eksekutif Utusan Melayu (M) Bhd.

 

 

PELBAGAI usaha boleh dilakukan oleh setiap individu untuk bersama-sama menghulurkan bantuan kepada masyarakat mengikut keupayaan masing-masing apatah lagi ketika pandemik Covid-19 masih belum reda sepenuhnya.

Atas alasan itu, syarikat Ayam Bismi Sdn. Bhd.

meneruskan tradisi menghulurkan sumbangan melalui khidmat sosial korporat (CSR), dengan pemberian ayam percuma kepada golongan memerlukan.

Menurut Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn. Bhd., Hajah Mazlina Kamarudin, inisiatif tersebut diwujudkan untuk membantu mereka tidak berkemampuan terutama golongan asnaf dengan pemberian seekor

ayam segar.

“Program Ayam CSR ini terbahagi kepada dua iaitu pertama melalui pemberian daripada syarikat Ayam Bismi sendiri dan kedua, daripada pihak atau individu lain yang ingin menyumbang.

“Matlamat syarikat adalah memberi peluang kepada orang ramai termasuk syarikat korporat untuk menderma dan membantu orang ramai yang memerlukan. Pemberian ayam yang segar, halal dan bersih daripada syarikat ini juga membolehkan masyarakat daripada golongan asnaf ini dapat makan makanan yang berkhasiat,” katanya.

Beliau menambah, syarikat turut menyediakan subsidi daripada setiap pembelian ayam untuk didermakan kepada mereka yang memerlukan itu.

“Contohnya, semalam, salah seorang pengedar sah kita daripada Putrajaya menyumbang 100 ayam kepada penduduk sekitar Simpang Empat,” katanya.

Jelasnya, syarikat berkenaan turut mengalu-alukan lebih banyak individu atau syarikat turut serta dalam program kebajikan ini dalam usaha membantu lebih banyak golongan memerlukan.

Dalam pada itu, menurut salah seorang penyumbang yang juga pengedar Ayam Bismi di Putrajaya, Puteh Soraya A Rahman, 42, beliau menyertai program tersebut sebagai usaha membantu meringankan beban masyarakat terutama yang terjejas akibat PKP penuh (lockdown) ketika ini.

“Saya yakin syarikat Ayam Bismi boleh uruskan kerja-kerja kebajikan ini dengan baik,” katanya yang menyumbang 100 ekor ayam bagi program terbaharu Ayam CSR semalam.

Bagi mereka yang ingin menyumbang melalui program Ayam CSR ini boleh menghubungi talian, 0195900060 untuk maklumat lanjut.

Syarikat Bismi Empire Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat milikan bumiputera yang menekankan konsep halal 100 peratus kepada ternakan, sembelihan dan mengedarkan produk.

Bismi Empire Sdn Bhd berasal dari syarikat asal iaitu memproses dan menjual Ayam Bismi yang diasaskan oleh Tuan Haji Jaffri Ahmad pada 1988.

Ayam Bismi Sdn. Bhd. dan Bismi Cergas Sdn Bhd adalah pemilik jenama Ayam Bismi yang telah didaftarkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia.

Produk-produk utama syarikat ialah ayam daging hidup, ayam segar beku (whole chicken) dan ayam segar beku (siap potong dan cuci). Selain itu, syarikat juga menyediakan produk sampingan seperti chicken popcorn, ayam perap, ayam kisar dan rempah ayam goreng tandoori.

  • Facebook
  • Instagram
  • YouTube
  • TikTok

Rezeki Pakcik Ahmad mahu beli Ayam Bismi selepas jual setandan pisang kutip plastik

Penulis : Jamliah Hj Abdullah  9 Jun 2021

Mantan Wartawan Eksekutif Utusan Melayu (M) Bhd.

 

SUDAH jadi rutin harian Ahmad Wahab, 65, mencari dan menjual bahan terbuang untuk sesuap nasi.

Rezeki Ahmad hari ini setelah menjual semula bahan terbuang itu cuma RM1.50, namun dia bernasib baik setandan pisang di laman rumahnya sudah boleh dipangkas untuk dijual.

Dengan wang jual plastik terbuang dan setandan pisang berjumlah RM8 itu, dia ke pusat jualan Ayam Bismi di Simpang Empat di sini untuk membeli seekor ayam atas permintaan isteri, Roslah Majid, 60, dan anaknya di rumah.

Bak kata orang rezeki memang tak salah alamat, kelibat Ahmad meraih perhatian staf Ayam Bismi yang kebetulan mencari golongan asnaf untuk pemberian ayam percuma di bawah program Ayam CSR.

“Memang rezeki pakcik kan? Mai (datang) bawa duit RM8 lepas jual pisang dan plastik tadi, tiba-tiba Ayam Bismi bagi ayam percuma dua ekor.

“Alhamdulillah, orang rumah tentu seronok ni bawa rezeki lebih sikit. Terima kasih kepada mereka yang sudi derma,” katanya yang menetap di Kangkung Simpang Empat.

Menurut Ahmad, urusan menyara keluarga tertanggung di bahunya sendirian setelah anak tunggalnya, Mohd. Adli, 30, mengalami masalah penglihatan sejak beberapa tahun lepas.

Pemberian ayam percuma kepada golongan tidak berkemampuan melalui program Ayam CSR itu merupakan inisiatif syarikat Ayam Bismi Sdn. Bhd. untuk membantu mereka yang memerlukan.

Syarikat Bismi Empire Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat milikan bumiputera yang menekankan konsep halal 100 peratus kepada ternakan, sembelihan dan mengedarkan produk.

Bismi Empire Sdn. Bhd. berasal dari syarikat asal iaitu Memproses dan Menjual Ayam Bismi yang diasaskan oleh Haji Jaffri Ahmad pada 1988.

  • Facebook
  • Instagram
  • YouTube
  • TikTok

𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐦𝐛𝐞𝐥𝐢𝐡 𝐀𝐲𝐚𝐦 𝐁𝐢𝐬𝐦𝐢 𝐛𝐞𝐫𝐤𝐚𝐤𝐢 𝐩𝐚𝐥𝐬𝐮 𝐭𝐞𝐭𝐚𝐩 𝐠𝐢𝐠𝐢𝐡 𝐜𝐚𝐫𝐢 𝐫𝐞𝐳𝐞𝐤𝐢 𝐬𝐚𝐫𝐚 𝟕 𝐛𝐞𝐫𝐚𝐧𝐚𝐤

Penulis : Jamliah Hj Abdullah  9 Jun 2021

Mantan Wartawan Eksekutif Utusan Melayu (M) Bhd.

 

KUDRAT yang tinggal tidak seberapa tidak pernah dijadikan alasan untuk penyembelih di Kilang Memproses Ayam Bismi Sdn. Bhd. di Simpang Empat, Kangkong dekat Alor Setar, Anuar Rashid, 53, mengharap simpati orang apatah lagi di bahunya dia perlu menyara tujuh anggota keluarganya.

Ayam Bismi menjadi tempat Anuar, 53, dari Kampung Sala, Yan meraih pendapatan sejak enam tahun lepas setelah gagal mendapat pekerjaan lain setelah kaki kanannya kudung akibat satu kemalangan jalan raya pada 1993.

Bercerita tentang tragedi itu, kata Anuar, dia menumpang motosikal rakan kerjanya sebelum terlibat kemalangan dengan sebuah lori ketika dalam perjalanan pulang ke tempat kerja di sebuah kilang di Gurun selepas keluar makan tengah hari.

“Kaki saya hancur pada paras paha digilis lori dan terpaksa dipotong. Sejak itu saya pakai kaki palsu dan langkah saya menjadi terhad,” katanya.

Untuk meneruskan kehidupan dan menyara keluarga termasuk anak yang masih bersekolah, Anuar melakukan pelbagai pekerjaan seperti menjual ikan dan menjadi pengawal keselamatan.

“Terakhir saya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pusat tahfiz di Yan namun terpaksa berhenti apabila tempat itu ada masalah kewangan. Selepas itu saya cuba minta kerja di banyak tempat tapi tak dapat. Mungkin kerana saya orang kurang upaya (OKU).

“Satu malam saya termimpi tentang ayam… lama saya fikir tentang mimpi itu. Akhirnya saya percaya itulah mimpi yang membawa saya ke Ayam Bismi,” ceritanya.

Menurut Anuar, dia masih teringat hari pertama ditemuduga oleh Pengarah Urusan Ayam Bismi Empire Sdn. Bhd., Hajah Mazlina Kamarudin untuk bekerja di syarikat ini.

“Saya datang temuduga tak letak harapan tinggi kerana saya tahu pandangan orang kepada OKU seperti saya. Tetapi pandangan Hajah Mazlina sebaliknya, Hajah bukan sahaja bagi saya semangat tetapi kerja.

“Saya memang terhutang budi dengan syarikat ini yang sudi ambil saya bekerja kerana saya memang terpaksa bekerja untuk sara keluarga termasuk seorang anak yang masih bersekolah,” katanya.

Di kilang itu, rutin kerja Anuar yang mempunyai sijil tauliah sembelih daripada JAKIM bersama lima pekerja lain bermula pada pukul 5 pagi dan setiap hari dia menyembelih kira-kira 3,000 ayam.

Bagi Hajah Mazlina, pekerja seperti Anuar juga memainkan peranan penting dalam syarikat ini apatah lagi visi utama Ayam Bismi adalah, Peneraju Solusi Ayam Halal Untuk Ummah Di Malaysia.

“Pekerja di Ayam Bismi terdiri daripada pelbagai latar belakang dan status seperti ibu tunggal dan OKU seperti Anuar.

“Saya percaya apabila kita memberi rezeki kepada orang lain maka Allah akan turunkan rezeki kepada kita juga. Mungkin ini adalah doa-doa daripada pekerja-pekerja itu yang kita bantu,” katanya.

Bismi Empire Sdn Bhd adalah sebuah syarikat milikan bumiputera yang menekankan konsep halal 100 peratus kepada ternakan,

sembelihan dan mengedarkan produk.

Produk-produk utama syarikat ialah ayam daging hidup, ayam segar beku dan ayam segar beku siap potong dan cuci. Selain itu, syarikat juga menyediakan produk sampingan seperti chicken popcorn, ayam perap, ayam kisar dan, rempah ayam goreng tandoori.

  • Facebook
  • Instagram
  • YouTube
  • TikTok

Lady boss’ rindu tetamu RMP

Penulis : Jamliah Hj Abdullah  9 Jun 2021

Mantan Wartawan Eksekutif Utusan Melayu (M) Bhd.

 

SEJAK mula beroperasi pada 6 Julai tahun lepas, Rumah Makan Percuma (RMP) di Jalan Kangkong Simpang Empat Alor Setar menjadi tumpuan ratusan penduduk setempat terutama dalam kalangan asnaf, miskin dan mualaf.

Gara-gara peningkatan kes Covid-19 termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan RMP terpaksa ditutup operasi sementara sejak 25 Mei lepas sekali gus mengundang rasa gundah gulana di hati pencetus ideanya, Hajah Mazlina Kamarudin.

Bagi Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn. Bhd. ini, beliau tersentuh dengan kisah hidup masyarakat yang terjejas akibat Covid-19 dan mempercayai RMP merupakan cara terbaik untuk membantu mereka.

“Kalau ada RMP kita dapat bantu orang yang susah ini. Malang sekali kita terpaksa menutup sementara operasi RMP bagi mengekang penularan pandemik ini tetapi pada masa yang sama memang hati saya terkilan kerana tidak dapat bantu mereka dengan cara ini.

“RMP mendapat sambutan hebat sebelum ini dan di RMP kita bersua dengan golongan ini sekali gus mendalami keperitan mereka. Banyak yang terkesan dengan Covid-19 jika kita mempunyai peluang untuk membantu, kita bantulah dengan apa cara pun,”

katanya yang terkesan dengan kisah seorang pelanggan Ayam Bismi yang membeli hati RM1 sebelum ini.

 

Menurut Hajah Mazlina, pihaknya berharap PKP penuh (lockdown) akan segera berakhir bagi membolehkan RMP beroperasi semula membantu orang susah apatah lagi pandemik ini masih belum reda.

RMP yang beroperasi di premis kedai makan berdekatan Pusat Jualan Utama dan Kilang Memproses Ayam Bismi itu diinspirasi oleh Hajah Mazlina dan suami, Haji Jaffri Ahmad yang juga Pengasas Ayam Bismi sebagai rasa prihatin kepada masyarakat setempat yang terjejas akibat pandemik tahun lepas.

  • Facebook
  • Instagram
  • YouTube
  • TikTok

Kisah penuh inspirasi Pengurus Besar Ayam Bismi, pernah diisytihar OKU

Penulis : Jamliah Hj Abdullah  9 Jun 2021

Mantan Wartawan Eksekutif Utusan Melayu (M) Bhd.

 

PENGURUS Besar, Bismi Empire Sdn. Bhd., Azli Saat bukan sembarangan kerana individu yang sama pernah berjasa kepada syarikat multinasional Jepun, Panasonic Malaysia ketika mula beroperasi di Melaka.

 

Bermula daripada hanya seorang penyelia sehingga diberi kepercayaan sebagai Pengurus Besar oleh syarikat tersebut, pengalaman selama 17 tahun itu kini cukup berharga di Ayam Bismi.

 

“Ayam Bismi sempurna… cuma sekarang saya nak membantu meneruskan perjuangan halal toyyiban bersama-sama mereka.

 

“Syarikat ini ada modul bisnes yang menyeluruh daripada menternak ayam, uji dedak ayam sehingga ke hasilkan produk tambah nilai seperti makanan sejuk beku. Pada saya, ini satu modul bisnes yang matang dan dirancang dengan baik. Pengawalan halal toyyiban Ayam Bismi pun amat baik, malah lebih dari kilang lain yang pernah saya lawati,” katanya.

 

Perkara itu menjadi alasan utama beliau memilih untuk berbakti dengan syarikat ini sejak Oktober tahun lepas walaupun terpaksa berjauhan dengan anak dan isterinya di Melaka.

Bagi Azli, beliau ingin mempergunakan ilmu dan pengalamannya berkhidmat dengan syarikat Jepun itu untuk membantu meningkatkan lagi prestasi syarikat bumiputera seperti Ayam Bismi.

 

“Dahulu selama 17 tahun, akhirnya saya dapat menjadikan ia satu kilang yang berkapasiti tinggi dan berjaya capai kilang pertama yang dapat pengiktirafan indeks Bangunan Hijau iaitu yang pertama di Malaysia ketika itu.

 

“Sampai satu masa bila sudah buat pelbagai benda untuk kilang Jepun… bantu mereka jimat berjuta-juta dan saya terfikir kalau duduk dekat kilang tempatan macam mana? Tentu boleh bantu mereka,” katanya.

 

Pendirian yang sama membawa beliau terjun ke kilang penternakan ayam milik syarikat tempatan di Pahang sebelum membuat keputusan untuk bersara.

 

Di sebalik itu beliau tidak ketinggalan diuji apabila jatuh sakit pada 2018 akibat serangan bakteria pada kaki kirinya sehingga disahkan doktor sebagai hilang upaya kekal.

 

“Lepas bersara saya mula sakit kaki dan lutut terlantar selama enam bulan tak boleh bangun hanya boleh baring kerana kaki diserang sejenis bakteria jadi keras, kaku. Masa itu kita sedar bagaimana anak dan isteri membantu kita.

 

“Doktor pun sudah isytihar saya jadi OKU kerana susah nak jalan balik,“ cerita ayah kepada tiga cahaya mata perempuan ini.

 

Beliau bagaimanapun enggan mengaku kalah dengan takdir sebaliknya berusaha sedaya-upaya untuk sembuh dengan menanam azam untuk kembali menjadi seperti sediakala. Selebihnya berdoa pada Sang Pencipta dengan redha dan istiqamah.

 

“Bila doktor cakap saya sudah jadi OKU, saya mulakan episod baharu. Saya usahakan latihan dan terapi dengan sendiri sampai berjalan semula. Ia bukan mudah tapi saya cabar diri sendiri.

“Akhirnya saya berjaya tukar status OKU ini kembali kepada normal sehingga doktor yang mengisytiharkan saya sebagai OKU dulu bila jumpa balik amat terkejut,” katanya.

 

Kini sebagai Pengurus Besar di Ayam Bismi, beliau berharap dapat membantu syarikat terus unggul dan berperanan penting dalam sektor penternakan, pemprosesan dan pengedaran ayam ini.

 

“Nekad untuk datang sini sebab saya rasa kerja dulu dan sekarang banyak beza contoh di sini saya dapat sumbang kepada makanan halal toyyiban untuk orang Islam.

 

“Sini saya nampak Ayam Bismi banyak kepada CSR, zakat, bina masjid. Saya juga mahu bantu orang setempat, “ jelasnya.

 

Azli mengakui mengurus operasi syarikat dan kilang berkenaan memang agak mencabar ketika pandemik Covid-19 demi memastikan tidak berlaku sebarang penularan jangkitan di semua premis dan kilangnya.

 

“Kita kena cari jalan agar SOP dipatuhi dengan kaedah yang bersesuaian. Semua kilang kita sanitasi tiga kali sehari agar bebas daripada virus ini kerana kita tidak boleh ambil risiko,” katanya.

 

Sebelum bergelar Pengurus Besar, Azli pernah menjadi pemandu E-Hailing seketika selepas pulih daripada penyakitnya selain mengusahakan dua buah kedai dobi yang kini diurus oleh isteri kesayangan di Melaka.

  • Facebook
  • Instagram
  • YouTube
  • TikTok

𝐀𝐲𝐚𝐦 𝐁𝐢𝐬𝐦𝐢 𝐤𝐞𝐬𝐚𝐥 𝐯𝐢𝐫𝐚𝐥 𝐤𝐚𝐢𝐭𝐚𝐧𝐤𝐚𝐧 𝐝𝐞𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐥𝐨𝐫𝐢 𝐩𝐞𝐤𝐞𝐫𝐣𝐚 𝐠𝐞𝐥𝐚𝐧𝐠 𝐦𝐞𝐫𝐚𝐡 𝐣𝐚𝐦𝐛𝐮

Penulis : Jamliah Hj Abdullah  9 Jun 2021

Mantan Wartawan Eksekutif Utusan Melayu (M) Bhd.

 

SYARIKAT penternakan, pemprosesan dan pengedaran, Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) melahirkan rasa kesal ekoran tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang secara serkap jarang membuat tuduhan dan spekulasi mengelirukan di media sosial berkaitan syarikat tersebut.

Menurut Pengarah Urusannya, Hajah Mazlina Kamarudin, syarikat itu bagaimanapun memandang serius terhadap tindakan mengaitkan Ayam Bismi dengan sebuah lori membawa pekerja kilang gelang merah jambu tular di media sosial sejak semalam memandangkan ia dikhuatiri mencalar kredibiliti syarikat.

“Kami ingin menjelaskan lori berkenaan tidak ada kaitan dengan syarikat atau dari kilang Ayam Bismi. Kebajikan pekerja merupakan salah satu keutamaan syarikat termasuk dalam kalangan pekerja asing. Ayam Bismi sentiasa menjaga pekerja dan menghormati hak asasi mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, Ayam Bismi turut melahirkan bersimpati dengan apa yang berlaku ke atas pekerja berkenaan kerana ia merupakan salah satu cabaran bagi pengilang dalam sektor perkhidmatan perlu itu.

“Oleh sebab itu kita memohon agar kerajaan segera meluluskan permohonan untuk mempercepatkan proses vaksinasi semua pekerja syarikat memandangkan bahan mentah ini merupakan sumber makanan utama rakyat.

“Syarikat turut menghantar permohonan tersebut pada 6 Jun lepas kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut dan berharap agar ia diluluskan dengan segera memandangkan jangkitan Covid-19 di sektor ini,” katanya.

Tambah beliau, Ayam Bismi sentiasa memastikan operasi di semua kilang mengikut prosedur operasi standard ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

“Kilang kita turut disanitasi tiga kali sehari untuk memastikan tiada penularan jangkitan selain pemantauan dalam kalangan pekerja bagi memastikan semua mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Bismi Empire Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat milikan bumiputera yang menekankan konsep halal 100 peratus kepada ternakan, sembelihan dan mengedarkan produk.

Produk-produk utama syarikat ialah ayam daging hidup, ayam proses, dan ayam segar beku siap potong dan cuci. Selain itu, syarikat juga menyediakan produk sampingan seperti chicken popcorn, ayam perap, ayam kisar dan rempah ayam goreng tandoori.

  • Facebook
  • Instagram
  • YouTube
  • TikTok

Sukar dapat kerja, pesakit buah pinggang syukur jadi warga Ayam Bismi

Penulis : Jamliah Hj Abdullah  9 Jun 2021

Mantan Wartawan Eksekutif Utusan Melayu (M) Bhd.

 

ALOR SETAR: “Saya sakit buah pinggang, siapalah nak ambil saya kerja.”

Itu luahan Azliza Zainol, 34, yang menghidap penyakit itu sejak berusia 16 tahun namun keadaan itu tidak pernah dijadikan alasan untuk berusaha mencari rezeki bagi membantu keluarganya.

Begitupun sesuatu yang agak menyedihkan, kerana penyakit itu juga, kata Azliza, menyebabkan dia sukar mendapat pekerjaan apatah lagi apabila dia perlu menjalani rawatan dialisis.

“Dulu selama lapan tahun saya bekerja di pawagam Alor Setar, tapi bila pawagam tukar pengurusan saya tak diambil semula bekerja. Lepas itu memang susah nak dapat kerja, jadi saya kerja kafe satu jabatan di Alor Setar bantu mak saudara. Tetapi apabila kontrak dia tidak disambung, saya pun hilang kerja.

“Saya sedar dengan penyakit saya ini siapalah yang nak ambil saya bekerja. Kalau temuduga pun saya akan bagi tahu awal-awal saya ada penyakit takkan nak tipu sebab saya perlu buat dialisis tiga kali seminggu bermula pukul 5 pagi hingga 9 pagi,” ceritanya yang menetap di Tandop, Alor Setar bersama lapan anggota keluarganya.

Di saat dia semakin putus asa untuk kembali bekerja, kata Azliza, syarikat penternakan, pemprosesan dan pengedaran, Bismi Empire Sdn. Bhd. yang menerajui jenama Ayam Bismi menawarnya bekerja sebagai pembantu tukang masak di Rumah Makan Percuma (RMP) syarikat berkenaan.

“Memang tak jangka mulanya saya buat kerja sambilan saya bantu kakak, Azura Zainol, 48, yang bekerja di RMP. Bila Hajah (Mazlina Kamarudin, Pengarah Urusan Bismi Empire) mengetahui kesusahan saya dia terus bertanya, kenapa tak kerja saja di sini?

“Alhamdulillah, saya terima dengan hati terbuka kerana siapa yang nak bagi saya berkerja lagi. Saya memang berterima kasih kepada Hajah dan Ayam Bismi kalau tak memang tak ada kerja saya lagi,” katanya yang lebih suka dikenali sebagai Acu.

Azliza turut bercerita, dia mendapat kelonggaran bekerja di RMP memandangkan terpaksa membuat rawatan dialisis setiap Ahad, Selasa dan Khamis.

“Jika ada dialisis saya masuk kerja pukul 10 pagi. InsyaAllah saya akan bekerja dengan sebaik mungkin,” katanya yang turut menasihati orang ramai terutama remaja supaya mengamalkan pemakanan yang seimbang dan sihat bagi mengelak penyakit tersebut.

Dalam pada itu, menurut Hajah Mazlina, sebagai sebuah syarikat bumiputera pihaknya membuka peluang luas kepada golongan tidak berkemampuan meraih pendapatan.

“Pekerja di Ayam Bismi terdiri daripada pelbagai latar belakang dan status seperti ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) .

“Saya percaya apabila kita memberi rezeki kepada orang lain maka Allah akan turunkan rezeki kepada kita juga. Mungkin ini adalah doa-doa daripada pekerja-pekerja itu yang kita bantu,” katanya.

RMP yang beroperasi di premis kedai makan berdekatan Pusat Jualan Utama dan Kilang Memproses Ayam Bismi itu diinspirasi oleh Hajah Mazlina dan suami, Haji Jaffri Ahmad yang juga Pengasas Ayam Bismi sebagai rasa prihatin kepada masyarakat setempat terjejas akibat pandemik tahun lepas.

Bismi Empire Sdn Bhd adalah sebuah syarikat milikan bumiputera yang menekankan konsep halal 100 peratus kepada ternakan, sembelihan dan mengedarkan produk.

  • Facebook
  • Instagram
  • YouTube
  • TikTok
photo6190634714084256638.jpg

Ayam Bismi bantu kelangsungan hidup keluarga Mohd Yusoff

Penulis : Jamliah Hj Abdullah  8 Jun 2021

Mantan Wartawan Eksekutif Utusan Melayu (M) Bhd.

 

NASIB keluarga Mohd. Yusoff Mahmood, 58, diibaratkan jatuh ditimpa tangga.

Isterinya, Noor Hafizah Muslim, 53, menghidap penyakit tiroid dan darah rendah sementara anak perempuan, Noor Izzatul Hidayah, 20, mengalami masalah alahan kulit yang teruk sejak berusia lima tahun.

Mohd. Yusoff sebagai ketua keluarga turut didiagnosis awal tahun lepas menghidap ketumbuhan atau ganglion cyst pada pergelangan tangannya selain turut mempunyai darah tinggi.

Takdir hidup itu memang memeritkan bagi Mohd. Yusoff. Apatah lagi apabila dia tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap untuk menyara keluarganya itu.

Di sebalik penderitaan itu, nasib Mohd. Yusoff menampakkan sinar apabila dia mendapat peluang bekerja di bahagian pembungkusan kilang Ayam Bismi Sdn. Bhd. sejak lima bulan lepas.

Bagi Mohd. Yusoff, Ayam Bismi bukan sekadar tempat dia meraih rezeki malah diibaratkan penyambung hidupnya sekeluarga ketika dia kebuntuan mencari kerja di merata-rata tempat namun gagal.

“Pada usia sebegini saya tahu memang susah untuk dapat kerja tetap, siapa yang nak ambil saya berkerja? Jadi saya membuat pelbagai kerja sampingan sebelum ini termasuk mengilat kereta.

“Pada bulan Februari apabila kawan memberitahu Ayam Bismi memerlukan pekerja di bahagian kilang saya cuba minta dan tidak sangka dapat,” katanya yang menyewa di Taman Cengkih, Simpang Empat Alor Setar ketika ini.

Bagi Mohd. Yusoff, diterima sebagai warga Ayam Bismi yang beribu pejabat di Simpang Empat Alor Setar itu adalah penyelamat keluarganya.

“Saya memerlukan belanja yang banyak setiap bulan untuk kos rawatan isteri dan anak. Isteri pernah bekerja namun terpaksa berhenti kerana dia selalu pengsan.

“Anak pula dengan masalah kulitnya itu dia perlukan ubat dan suplemen khas dengan kos RM300 sebulan. Selain itu saya juga perlu bayar sewa rumah ini RM300 sebulan kalau tak ada kerja memang susah. Dulu saya buat kerja sambilan jual kereta namun bila Covid-19 susah nak kerja itu lagi,” jelasnya.

Bersimpati dengan nasib Mohd. Yusoff, Ayam Bismi melalui Ketua Pemasarannya, Wan Fazlina Wan Fhuad menyampaikan sumbangan duit raya kepada keluarga tersebut semalam.

Dalam pada itu, menurut Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn. Bhd., Hajah Mazlina Kamarudin, sebagai sebuah syarikat bumiputera pihaknya membuka peluang luas kepada golongan tidak berkemampuan meraih pendapatan.

“Pekerja di Ayam Bismi terdiri daripada pelbagai latar belakang dan status seperti ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan keluarga seperti Mohd. Yusoff.

“Saya percaya apabila kita memberi rezeki kepada orang lain maka Allah akan turunkan rezeki kepada kita juga. Mungkin ini adalah doa-doa daripada pekerja-pekerja itu yang kita bantu,” katanya.

Syarikat Bismi Empire Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat milikan bumiputera yang menekankan konsep halal 100 peratus kepada ternakan, sembelihan dan mengedarkan produk.

Bismi Empire Sdn. Bhd. berasal dari syarikat asal iaitu memproses dan menjual Ayam Bismi yang diasaskan oleh Haji Jaffri Ahmad pada 1988.

  • Facebook
  • Instagram
  • YouTube
  • TikTok
WhatsApp Image 2019-11-11 at 12.15.20 PM

Dari proses 50 ekor ayam, kini miliki 18 ladang bersepadu terbesar di utara tanah air

Penulis : Jamliah Hj Abdullah  9 Jun 2021

Mantan Wartawan Eksekutif Utusan Melayu (M) Bhd.

 

NAMA Ayam Bismi tentu bukan asing lagi dalam sektor ternakan, pemprosesan dan pengedaran ayam di bahagian utara tanah air malah merupakan satu-satu syarikat bumiputera yang mempunyai rangkaian kilang bersepadu terbesar dengan perolehan lebih RM160 juta, tahun lepas.

Di belakangnya adalah, Haji Jaffri Ahmad selaku Pengasas dan Presiden Ayam Bismi Empire Sdn. Bhd., yang sudah 33 tahun berkecimpung dalam industri tersebut dan terus berkembang saat ini.

Berkat kegigihan anak jati Kedah itu sebuah bisnes kecil-kecilan yang bermula hanya dengan memproses dan menjual 50 ekor ayam berkesudahan dengan 18 ladang dengan kapasiti ternakan dan pemerosesan di bawah Bismi Empire Sdn. Bhd. atau Ayam Bismi itu adalah lebih dua juta ekor setiap kitaran.

Ia sekali gus menjadikan Ayam Bismi sebagai sebuah syarikat bumiputera terbesar dalam sektor penternakan, pemerosesan dan pengedaran ayam.

Lahir dengan nama Ayam Bismi, idea bisnes Haji Jaffri yang kuat didukung isteri kesayangannya, Hajah Mazlina Kamarudin itu, bermula pada 1988 setelah beliau menamatkan pengajian dalam industri perladangan di UiTM di Arau, Perlis.

“Bila saya keluar dari ITM (kini UiTM) zaman inflasi jadi memang susah nak dapat kerja. Tetapi memandangkan saya suka berniaga sejak di bangku sekolah sampai ke ITM.

Kecil-kecil sekolah rendah saya diasuh oleh keluarga bawa kuih ke kedai sampai ke masa sekolah saya jual buah di tepi jalan, tidur di tempat berniaga, sudah biasa… pernah suatu masa lepas SPM ambil upah cuci bas dan di ITM macam-macam kerja saya buat.

“Memang saya minat berniaga. Sehingga lepas habis belajar, saya diperkenalkan dengan seorang rakan yang mengajak saya membuka bisnes memproses ayam,” kata Penternak Jaya Kedah 2003 ini dan penerima Anugerah Pemasar Terbilang Lelaki Kebangsaan-FAMA 2004.

Bercerita lanjut kata Pengasas Ayam Bismi ini, pusat pemerosesan ayam pertama yang diusahakan dengan rakan kongsinya itu terletak bersebelahan dengan rumah keluarganya iaitu tapak asal Pusat Jualan dan Ibu Pejabat Ayam Bismi ketika ini.

“Saya masih ingat hari pertama saya sembelih 50 ekor ayam yang dibeli daripada FAMA dan seronok untuk bekalkan. Saya ingat lagi dengan sebuah pikap buruk saya bawa ayam itu untuk dihantar ke pemborong."

“Itu pun bukan senang kerana saya mampu jual 10 ekor sahaja dan lebih bawa balik letak dalam peti sejuk rumah kawan kerana nak bawa balik risau ibu bapa bimbang,” ceritanya.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila rakan kongsi beliau turut menghilangkan diri menyebabkan beban untuk meneruskan perniagaan tersebut tertanggung di bahunya sendirian.

“Sedikit demi sedikit bisnes itu saya besarkan dan saya pun sudah jadi pembekal ayam mahu tak mahu terpaksa teruskan bisnes ayam. Dari situlah saya perlahankan bangunkan diri langkah demi langkah."

"Bulan puasa saya berniaga di tepi pasar, dan banyak dugaan juga dimarah peniaga lain dan disaman majlis. Sehinggalah saya mula dapat tapak tetap di Pasar Tani Alor Setar dan dari satu meja tambah ke lima meja seterusnya bekalkan kepada semua peniaga ayam di situ,” katanya.

Walaupun semakin maju, Haji Jaffri mengakui pernah meninggalkan seketika perniagaan itu untuk bekerja makan gaji di sebuah syarikat multinasional di Kuala Lumpur namun cuma bertahan sehari apabila menyedari minatnya hanya dalam dunia perniagaan.

Demi untuk mengembangkan bisnes tersebut, Haji Jaffri memberanikan diri membuka ladang ternakan pertamanya di Binjal, Napoh pada 1995 dengan kapasiti 20,000 ekor.

“Tanah itu saya sewa… itu pun ada cabaran apabila daripada 20,000 ekor anak ayam yang saya ternak hamper 80 peratus mati kerana penyakit hawar. Tetapi kegagalan itu tetap memberi pengajaran kepada saya untuk berhati-hati,” katanya.

Ceritanya lagi, selang dua tahun selepas itu beliau membesarkan ladang tersebut dengan menyewa tanah bersebelahan sekali gus meningkatkan kapasiti kepada 50,000 ekor ayam setiap kitaran.

Pelbagai masalah daripada pemilik tuan tanah yang disewanya di kawasan itu juga tidak mematahkan semangat Haji Jaffri apabila ia memberi hala tuju baharu kepadanya untuk membeli tanah dan membuka ladang baharu sebagai langkah mengembang perniagaannya itu.

“Di ladang tanah yang kita sewa itu kita hadapi banyak masalah termasuk orang yang diupah untuk ternak ayam itu semakin hari tidak dapat bagi komitmen kepada kita… dari situ salah faham terjadi walaupun buat kontrak lima tambah lima tahun tapi bila tak ada persefahaman dengan tuan tanah akhirnya ternak ayam ini mula kerugian sebab ayam tak besar… ayam mati banyak. Kita ambil langkah pindahkan reban ke tapak tetap tapi bukan langkah mudah akhirnya kita terpaksa bayar pampasan kepada tuan tanah,” jelas penerima Anugerah Usahawan Cemerlang Agrobank 2018 ini.

Serik menyewa tanah selain dihadapkan dengan karenah tuan tanah, Haji Jaffri akhirnya membeli sebidang tanah dengan harga RM80,000 di Kampung Lampam, Pendang pada 1998 dan memindahkan ladang di Napoh ke kawasan itu. Langkah Ayam Bismi tidak terhenti di situ.

Sehingga kini, dengan visi Peneraju Solusi Ayam Halal Untuk Ummah Di Malaysia, Bismi Empire mempunyai 18 ladang bersepadu di seluruh Kedah dengan kapasiti daripada 20,000 hingga 235,000 ekor setiap kitaran malah enam daripadanya ditukarkan kepada ladang tertutup.

Bukan itu sahaja untuk memastikan kualiti ayam yang dipasarkan pada tahap terbaik dan suci, syarikat berkenaan turut membuka makmalnya sendiri dengan pelaburan lebih RM250,000 demi memastikan proses penjagaan pemakanan ayam ternakan bebas daripada penyakit dan sisa khinzir.

Bismi Empire Sdn. Bhd. kini memiliki empat anak syarikat di bawah seliaannya iaitu Bismi Cergas Sdn. Bhd., Ayam Bismi Sdn. Bhd., Ayam Bismi Food Sdn. Bhd. dan Naka Biolife Sdn. Bhd. Bismi Cergas Sdn. Bhd. menjalankan aktiviti menternak ayam, manakala Ayam Bismi Sdn. Bhd. menjadi ejen pemasar, yang menjalankan aktiviti memproses dan memasar ayam.

  • Facebook
  • Instagram
  • YouTube
  • TikTok
192120587_4340892329294534_7277558036523

Guru gerakkan infaq 2,200 Ayam CSR untuk orang susah

Penulis : Jamliah Hj Abdullah  9 Jun 2021

Mantan Wartawan Eksekutif Utusan Melayu (M) Bhd.

 

KECERIAAN penerima yang kesempitan hidup dan kegembiraan penderma yang dapat menghulurkan sumbangan untuk membantu golongan itu.

 

Dua perkara itu yang memberikan semangat kepada seorang guru, Intan Shafinaz Che Hasan, 43, menggerakkan program Keloi-keloi: Dana Ayam sejak awal bulan lepas.

 

Program yang dijayakan dengan kerjasama Ayam Bismi Sdn. Bhd. melalui program Ayam CSR ini berjaya menginfaq sebanyak 2,200 ekor ayam kepada keluarga miskin, mualaf, OKU dan pusat tahfiz sekitar Alor Setar, Pokok Sena, Jitra, Pendang, Sungai Petani dan Perlis hasil derma daripada orang ramai terutama rakan-rakan media sosialnya.

 

Menurut Intaz Shafinaz yang juga merupakan guru Sekolah Kebangsaan Alor Setar, program tersebut bermula apabila dia mengumpul derma untuk membantu murid sekolah itu daripada keluarga kurang berkemampuan dengan sedekah seekor ayam.

 

“PKPD berlanjutan meresahkan waris sekolah yang rata-rata buruh dan bergaji hari. Mereka golongan yang sangat terkesan."

 

“Memang rancang nak sedekah ayam. Saya selalu tempah Ayam Bismi. Nak jadi cerita rancang nak infaq 75 untuk waris murid sahaja kemudian jadi 500 ekor jadi terpaksa berhubung dengan tokey Ayam Bismi, Hajah Mazlina Kamarudin yang popular itu untuk bantuan logistik."

 

“Sedar tak sedar derma ayam ni sudah pergi merata tempat dan semakin banyak orang susah yang dapat manfaat, Alhamdulillah,” katanya.

 

Tambahnya, dia sama sekali tidak menyangka infaq berkenaan mendapat sambutan mengalakkan daripada kenalan dan orang ramai apabila berjaya mengumpul lebih RM20,450.

 

“Saya berterima kasih kepada penginfaq yang dermawan walaupun seekor ayam pasti membahagiakan satu keluarga,” katanya.

 

Jelas ibu anak tiga ini lagi, pihaknya memilih Ayam Bismi kerana mempercayai ia produk yang boleh digunakan tanpa was-was dan selamat dimakan.

 

“Teknik ternakan ladang ayam mereka moden dan patuh syariah. Beli Ayam Bismi kita sokong produk bumiputera. Inilah sumbangan kecil kita sebagai umat Islam nak makan kena cari yang halal. Saya berharap dapat meneruskan kerjasama ini pada masa akan datang,” katanya.

 

Ayam CSR merupakan salah satu usaha Ayam Bismi Sdn. Bhd. meneruskan tradisi menghulurkan sumbangan melalui khidmat sosial korporat (CSR), dengan pemberian ayam percuma kepada golongan memerlukan.

 

Ia sejajar dengan amalan yang dipuji dalam Islam seperti dalam Surah Al-Baqarah ayat 195, Allah SWT berfirman,

 

“Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri di dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik."

  • Facebook
  • Instagram
  • YouTube
  • TikTok
192913132_4346343985416035_8415048559296

𝐓𝐞𝐥𝐮𝐫, 𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐤𝐞𝐫𝐢𝐧𝐠 𝐣𝐚𝐝𝐢 𝐣𝐮𝐚𝐝𝐚𝐡 𝟏𝟑 𝐛𝐞𝐫𝐚𝐧𝐚𝐤 𝐬𝐞𝐣𝐚𝐤 𝐏𝐊𝐏

Penulis : Jamliah Hj Abdullah  9 Jun 2021

Mantan Wartawan Eksekutif Utusan Melayu (M) Bhd.

 

PANDEMIK yang membawa kepada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak awal Mei lepas merobah status ekonomi banyak keluarga termasuk daripada M40 kepada B40.

 

Itu hakikat keras kehidupan zaman pandemik Covid-19 yang harus ditelan keluarga Salina Mohd. Yatim, 49, seorang tukang urut dari Perlis.

 

Kehidupan Salina 13 beranak sebelum pandemik agak berada dengan pendapatannya sendiri sebanyak RM4,000 sebulan selain hasil perniagaan suami dan anak-anaknya.

 

Namun akibat pandemik terutama dengan PKP yang silih berganti menyebabkan keluarga ini tidak mampu berniaga dan pendapatan kini sekadar bergantung kepada wang simpanan yang sudah tinggal tidak seberapa.

 

“Memang sejak PKP ini saya tidak boleh keluar mengurut sewenang-wenangnya tapi ada juga tempahan namun sejak PKPD di Kedah dan kini lockdown sepenuhnya, langsung tidak boleh mengurut. Lagipun pelanggan saya banyak di Kedah.

 

“Suami yang berniaga buah-buahan di Pulau Pinang pun sejak 10 bulan lepas memang tak dapat berniaga kerana alami kerugian. Termasuk anak-anak saya yang semuanya turut berniaga.

 

“Kami hidup dengan duit simpanan saja tetapi ibarat bukit kalau ditarah mendatar juga itulah duit simpanan pun semakin habis,” katanya yang terpaksa membatalkan puluhan tempahan mengurut dan penjagaan pantang ibu mengandung sejak PKP.

 

Sebagai salah satu cara untuk bertahan dengan sumber kewangan yang semakin terhad, kata Salina yang sudah 14 tahun menjadi bidan, dia dan keluarga terpaksa mencatu makanan.

 

“Kami tinggal sekeluarga seramai 13 beranak termasuk empat anak, tiga menantu, dua cucu termasuk mak dan bapa saudara yang menumpang di sini. Kalau makan tu memang kena catulah. Selalu makan telur atau ikan kering saja sebab itu yang ada di rumah dan orang selalu bagi bantuan.

 

“Ayam dan ikan lagilah payah nak jumpa sejak PKP ni. Kalau nak beli tengok harga dulu kalau murah baru beli. Kalau ke pasar carilah yang orang dok lelong macam ikan sekilo RM4 ke, “ ceritanya.

 

Dia bernasib baik kerana dua daripada empat anaknya bekerja makan gaji sekali gus boleh menampung serba sedikit keperluan keluarga.

 

“Seorang kerja kilang dan seorang kerja di kedai serbaneka boleh juga mereka bantu bayar bil apa yang patut,” jelasnya.

 

Kesempitan hidup itu bukan satu-satunya cabaran yang harus ditempuhi Salina apabila anak bongsunya yang berusia 19 turut disahkan mengalami kemurungan sehingga terpaksa berhenti belajar di salah sebuah institusi pengajian tinggi.

 

“Dia kata tak mahu menyusahkan kami kerana sekarang zaman susah dan nak belajar terpaksa guna banyak duit. Kami pun tak mahu nak paksa sebab doktor sudah sahkan dia hidap kemurungan.

 

“Sekarang walaupun susah saya berusaha jadikan dia gembira kerana tak mahu dia semakin tertekan. Apa yang diharapkan PKP ini akan segera berakhir dan kehidupan kami pulih seperti sediakala,” katanya.

 

Dalam pada itu terkesan dengan nasib keluarga berkenaan, Empire Bismi Sdn. Bhd. melalui program Ayam CSR menghulurkan sumbangan dua ekor ayam.

  • Facebook
  • Instagram
  • YouTube
  • TikTok
193792200_4347292985321135_9190609331035

𝐂𝐚𝐛𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐛𝐞𝐫𝐭𝐮𝐚𝐡 𝐛𝐞𝐫𝐧𝐢𝐥𝐚𝐢 𝐑𝐌𝟏𝟎𝟎,𝟎𝟎𝟎 𝐦𝐞𝐧𝐚𝐧𝐭𝐢 𝐩𝐞𝐥𝐚𝐧𝐠𝐠𝐚𝐧 𝐀𝐲𝐚𝐦 𝐁𝐢𝐬𝐦𝐢

Penulis : Jamliah Hj Abdullah  9 Jun 2021

Mantan Wartawan Eksekutif Utusan Melayu (M) Bhd.

 

SEBAGAI menghargai pelanggan syarikat Bismi Empire Sdn. Bhd. menganjurkan Cabutan Bertuah Ayam Bismi 2021 yang menawarkan hadiah menarik bernilai RM100,000.

Program tersebut yang merupakan acara tahunan syarikat penternakan, pemprosesan dan pengedaran ayam terbesar di utara tanah air milikan bumiputera itu menyediakan 20 televisyen plasma dan 21 motosikal.

Menurut Pengarah Urusannya, Hajah Mazlina Kamarudin yang juga pencetus idea program berkenaan, selain sebagai menghargai pelanggan program juga usaha syarikat berkongsi rezeki dengan mereka.

“Selain daripada berkongsi keuntungan dengan pemberian zakat dan program CSR kita adakan cabutan bertuah ini.

“Program ini mendapat sambutan yang mengalakkan sebelum ini. Sesuatu yang menarik adalah hadiah daripada cabutan bertuah ini dapat memanfaatkan penerimanya apabila yang tak ada motosikal dapat motosikal untuk kegunaan mereka, memang aturan Allah itu hebat,” katanya.

Selain itu, tambah beliau, ia bagi mengalakkan lebih ramai penduduk memilih produk Ayam Bismi.

“Bukan hanya bisnes, ini juga dakwah kerana Ayam Bismi juga peneraju produk halal dan berusaha mendidik anggota masyarakat mencari halal toyyiban.

“Cabutan bertuah ini merupakan acara tahunan dan tahun lepas ia mendapat sambutan mengalakkan. Berdasarkan itu juga, tahun ini kita menambah nilai hadiah yang ditawarkan iaitu RM100,000 berbanding RM80,000 pada tahun lepas,” katanya.

Bagi menyertai cabutan bertuah ini pelanggan hanya perlu membeli produk Ayam Bismi bernilai RM20 sebelum layak menerima satu kupon penyertaan.

Ia terbuka kepada semua pelanggan Ayam Bismi di semua pusat jualannya.

Pelanggan hanya perlu mengisi maklumat peribadi diri dan memasukkan kupon tersebut dalam kotak disediakan di Pusat Jualan Utama Simpang Empat dan 15 outlet di Kedah serta Perlis.

Penyertaan Cabutan Bertuah Ayam Bismi 2021 akan dibuka sehingga Februari tahun depan.

Bismi Empire Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat milikan bumiputera yang menekankan konsep halal 100 peratus kepada ternakan, sembelihan dan mengedarkan produk.

Produk-produk utama syarikat ialah ayam daging hidup, ayam proses dan ayam segar beku siap potong dan cuci.

Selain itu, syarikat juga menyediakan produk sampingan seperti chicken popcorn, bebola ayam, ayam perap, ayam kisar dan rempah ayam goreng tandoori.

  • Facebook
  • Instagram
  • YouTube
  • TikTok
195822258_4350679481649152_2730341720547

𝐀𝐲𝐚𝐦 𝐁𝐢𝐬𝐦𝐢 𝐫𝐚𝐲𝐮 𝐩𝐞𝐤𝐞𝐫𝐣𝐚 𝐬𝐞𝐠𝐞𝐫𝐚 𝐝𝐢𝐯𝐚𝐤𝐬𝐢𝐧

Penulis : Jamliah Hj Abdullah  9 Jun 2021

Mantan Wartawan Eksekutif Utusan Melayu (M) Bhd.

 

ALOR SETAR: Syarikat penternakan, pemprosesan dan pengedaran, Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) berharap agar kerajaan mempercepatkan proses vaksinasi untuk pekerja sektor berkenaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Menurut Pengarah Urusannya, Hajah Mazlina Kamarudin, vaksinasi pekerja dalam sektor perkhidmatan perlu tersebut adalah untuk memastikan operasi pengeluaran bahan mentah utama negara itu berjalan lancar.

“Syarikat Ayam Bismi merupakan pengusaha yang terlibat dalam sektor perkhidmatan perlu dan dibenarkan operasi dalam tempoh sekatan kawalan (lockdown) penuh.

“Kami merupakan sebuah syarikat bersepadu bermula daripada penternakan, pemprosesan dan penjualan ayam dengan kapasiti bulanan sebanyak 1 juta ekor ayam. Operasi kami disokong oleh 400 pekerja. Justeru kami perlu memastikan sejuta ekor ayam dapat dipasarkan setiap bulan kepada pelanggan, “ katanya di sini hari ini.

Katanya, selain itu, Ayam Bismi juga perlu memastikan penternakan dua juta ekor ayam di ladangnya dapat diuruskan dengan baik supaya jaminan bekalan ayam mencukupi untuk pasaran tempatan.

“Syarikat turut menghantar permohonan vaksinasi tersebut pada 6 Jun lepas kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut dan berharap agar ia diluluskan segera memandangkan jangkitan Covid-19 di sektor ini,” katanya.

Tambah beliau, Ayam Bismi sentiasa memastikan operasi di semua ladang dan kilang mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

“Kilang kita turut disanitasi tiga kali sehari untuk memastikan tiada penularan jangkitan selain pemantauan dalam kalangan pekerja bagi memastikan semua mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Bismi Empire Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat milikan bumiputera yang menekankan konsep halal 100 peratus kepada ternakan, sembelihan dan pengedaran produk.

Produk-produk utama syarikat ialah ayam daging hidup, ayam proses, dan ayam segar beku siap potong dan cuci. Selain itu, syarikat juga menyediakan produk sampingan seperti chicken popcorn, ayam perap, ayam kisar dan rempah ayam goreng tandoori.

  • Facebook
  • Instagram
  • YouTube
  • TikTok